
JOHOR BAHRU – Keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat kini dilaporkan stabil selepas selesai menjalani pembedahan membuang hempedu, semalam.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, wakil rakyat itu yang masih dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri, di sini, juga berada dalam keadaan sedar.
“Pembedahan untuk membuang hempedu itu telah berjaya dilakukan dengan selamat dan kini situasi beliau dalam keadaan stabil serta sedar.
“Amanah Johor juga berterima kasih terhadap semua pihak yang memainkan peranan yang baik serta semua pihak yang telah mendoakan kesejahteraan Suhaizan semasa dalam rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Naib Pengerusi Amanah Johor itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta pada Selasa selepas mengalami penurunan oksigen akibat demam panas.
Suhaizan, 51, yang merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada September 2023 selepas kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.





