KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meluahkan rasa kecewa susulan status terkini beberapa projek naik taraf jalan raya yang menghadapi ketidaktentuan dan kelewatan di kawasan Kiulu dan Tamparuli, Sabah.
Terdahulu, Madius meminta penjelasan daripada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung kemajuan projek Jalan Mantob-Gonipis-Tobobon dan Jalan Tudan-Poring-Tebobon di Kiulu, serta Jalan Wangkod-Tinuhan dan Jalan Guakon Baru di Tamparuli semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
Dalam satu jawapan rasmi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memaklumkan, Projek Jalan Mantob-Gonipis-Tebobon (Fasa 2) yang telah diluluskan sejak tahun 2020 dengan kos RM40 juta kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2026.
“Bagi tahun 2025, sebanyak RM4.4 juta telah diperuntukkan dengan RM3.9 juta sudah dibelanjakan.
“Bagaimanapun, kelewatan berlaku disebabkan proses pengambilan tanah yang masih belum selesai serta faktor cuaca hujan yang mengganggu kerja pembinaan.
“Permohonan lanjutan masa (EOT) kini sedang diproses,” jelas kementerian itu.
Manakala, bagi Projek Jalan Tudan-Poring-Tebobon pula diluluskan pada tahun 2021 dengan peruntukan RM47 juta.
Jelas KKDW, projek sepanjang enam kilometer tersebut kini berada pada peringkat awal pembinaan dan berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
“Namun begitu, dua lagi projek yang dibangkitkan iaitu naik taraf Jalan Topokon-Wangkod-Tinuhan serta Jalan Guakon Baru di Tamparuli tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi semasa Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3) bagi tahun 2023.
“Projek-projek ini juga tidak tersenarai dalam keutamaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dalam permohonan rancangan pembangunan berikutnya,” kata KKDW.
Mengulas lanjut, Madius menyuarakan kekecewaannya terhadap kelewatan beberapa projek penting infrastruktur luar bandar di kawasannya.
“Projek-projek ini bukan sahaja penting untuk kesejahteraan rakyat luar bandar, tetapi juga untuk merangsang ekonomi tempatan.
“Saya mendesak agar Kementerian dan agensi terlibat segera menyelesaikan isu teknikal serta memperjuangkan semula kelulusan bagi projek yang ditolak,” tegasnya.







