
LAHAD DATU – Ahli majlis daerah (AMD) perlu mengamalkan sikap ‘going extra mile’ atau melakukan sesuatu yang lebih dari jangkaan demi kejayaan dan kecemerlangan dalam sistem penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sikap inilah yang akan membezakan antara sekadar melaksanakan tugas atau benar-benar memberi impak kepada rakyat.
“Ahli majlis bukan sahaja menjalankan tanggungjawab asas, tetapi turut turun padang mendengar suara rakyat, menyelesaikan isu setempat dengan proaktif serta sentiasa mencari ruang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan.
“Ini adalah kunci kepada kejayaan sebenar dan tidak boleh hanya bergerak atas landasan biasa, tetapi perlu berani melangkah lebih jauh,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Daerah (AMD) Lahad Datu bagi sesi 2025 hingga 2027, di Majlis Daerah Lahad Datu, pada Khamis.
Terdahulu semasa berucap, Joachim turut menyeru semua ahli majlis yang baru dilantik supaya sentiasa berada dalam satu pasukan yang bergerak seiring ke arah matlamat yang sama tanpa mengira tempoh perkhidmatan.
“Jangan katakan baharu itu budak-budak dan ahli majlis lama itu sudah lapuk kerana setiap idea diperlukan dari semua.
“Gabungan pengalaman, semangat dan sikap mahu memberi lebih daripada kebiasaan dalam kalangan ahli majlis akan menjadikan Majlis Daerah Lahad Datu sebagai institusi contoh di Sabah dan mencapai perbandaran,” ujarnya.
Pada majlis itu, seramai 20 orang Ahli Majlis mengangkat sumpah lantikan bagi penggal 2025 hingga 2027.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengerusi Majlis Daerah merangkap Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Benetty Mohd Dzul dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu, Jackley Gielbert@Lontou.






