KUANTAN – Harga sawit yang stabil dan pengurusan cekap membolehkan 1,456 ahli Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) menerima dividen lebih tinggi bagi tahun kewangan 2024.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap ahli akan menerima RM5,000 bagi setiap unit ladang dimiliki, meningkat berbanding RM4,500 tahun lalu.
Menurutnya, pembayaran interim bagi satu unit ladang akan bermula hari ini bagi membantu ahli membuat persediaan menyambut Aidilfitri.
“Baki bayaran akan disalurkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan KOSMA ke-40 pada 21 Jun.
“Ketika ini, terdapat 12,638 unit ladang KOSMA dengan jumlah keseluruhan dividen diagihkan RM63.19 juta,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Wan Rosdy menjelaskan, pembayaran dividen itu berdasarkan prestasi kewangan kukuh KOSMA, yang mencatatkan pendapatan RM224.88 juta dengan keuntungan bersih RM134.17 juta bagi tahun kewangan 2024.




