
KOTA KINABALU – Usaha memperkasa agropelancongan durian di Sabah kini dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sebanyak 30 kebun tempatan menyertai edisi kedua risalah Sabah Agro Tourism: A Unique Sabah’s Farmland Experience, meningkat hampir tiga kali ganda berbanding edisi pertama.
“Peningkatan penyertaan kebun menunjukkan sektor durian semakin berkembang sebagai industri ekonomi bernilai tinggi, khususnya apabila digabungkan dengan elemen pelancongan.
“Edisi pertama hanya melibatkan 11 kebun, namun kini meningkat kepada 30 kebun.
“Ini menunjukkan pengusaha melihat potensi ekonomi yang besar daripada gabungan pertanian dan pelancongan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Sabah Durian Tourism Bazaar 2025, di sini, pada Sabtu.

Jelas beliau, inisiatif yang digerakkan Tourism Malaysia Sabah bersama Persatuan Pengusaha Durian dan Buah-buahan Tropika Sabah (MaSDa) itu membuka ruang kepada pengusaha kebun menjana pendapatan tambahan bukan sahaja melalui hasil jualan buah, malah menerusi aktiviti pelancongan berasaskan ladang.
Menurutnya, sebahagian besar kebun yang terlibat telah menerima pelawat sejak dua hingga tiga tahun lalu, sekali gus membuktikan agropelancongan mampu menjadi sumber pendapatan mampan kepada pengusaha luar bandar.
Dalam masa sama, penganjuran bazar durian yang melibatkan 55 gerai jualan turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat, merangkumi jualan durian, buah-buahan segar, minuman serta produk industri makanan tempatan.
“Sebanyak 14 gerai dikendalikan terus oleh pemilik kebun melalui konsep kebun ke pengguna.
“Pendekatan ini memendekkan rantaian bekalan, membolehkan pengusaha memperoleh margin lebih baik dan pengguna menikmati harga yang lebih kompetitif,” jelasnya.
Sebagai contoh, katanya, durian Musang King yang biasanya dijual melebihi RM80 di pasaran boleh diperoleh pada harga ladang sekitar RM55 hingga RM65, sekali gus meningkatkan kuasa beli pengguna dan volum jualan pengusaha.
Jamawi berkata, pendekatan itu bukan bertujuan menjejaskan peniaga sedia ada, sebaliknya untuk mengembangkan keseluruhan ekosistem industri durian agar manfaat ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
“Kita mahu pengusaha kebun mendapat pulangan yang adil, peniaga terus berniaga, dan pengguna memperoleh produk berkualiti pada harga munasabah.
“Ini tentang mengembangkan pasaran, bukan bersaing secara tidak sihat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran acara di sekitar Waterfront Todak dan Segama bertujuan melengkapkan aktiviti perniagaan durian sedia ada, malah kawasan jualan berhampiran turut mencatatkan jualan memberangsangkan sepanjang penganjuran program.
Selain menjana pendapatan, inisiatif itu juga berfungsi sebagai platform peningkatan kapasiti pengusaha, khususnya dari aspek kualiti buah, penandaan tepat, kebersihan dan keselamatan makanan, yang penting bagi membina keyakinan pengguna serta pasaran pelancong.
“Kualiti dan kepercayaan pengguna adalah kunci untuk memastikan industri ini terus berkembang dan memberi pulangan ekonomi jangka panjang,” ujarnya.
Jamawi berharap pendekatan bersepadu itu mampu memposisikan Kota Kinabalu sebagai hab agropelancongan makanan yang teratur dan diyakini, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah melalui sektor pertanian dan pelancongan bernilai tinggi.





