
KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas peningkatan peruntukan pembangunan Sabah dalam Belanjawan 2026, namun menegaskan bahawa agihan pembangunan perlu mencerminkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara (equal partner) dalam Persekutuan Malaysia.
Katanya, walaupun peruntukan kepada Sabah meningkat daripada RM6.7 bilion kepada RM6.9 bilion, pengagihan projek pembangunan masih belum menggambarkan kedudukan negeri itu seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Daripada RM81 bilion perbelanjaan pembangunan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, sebanyak 61 projek atau 86 peratus akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, manakala hanya 8.5 peratus (lima projek) di Sabah dan 7.4 peratus (lima projek) di Sarawak,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Madius berkata, keadaan itu menunjukkan Sabah dan Sarawak hanya menerima sekitar 15.9 peratus daripada keseluruhan projek pembangunan negara, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar mengiktiraf kedua-dua wilayah itu sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
Beliau turut memohon penjelasan mengenai jumlah peruntukan pembangunan Sabah yang berbentuk pinjaman, jumlah projek sambungan serta peratusan projek baharu yang akan dilaksanakan di negeri berkenaan.
Dalam masa sama, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu menyambut baik peningkatan Pemberian Khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan daripada RM300 juta kepada RM600 juta, namun menegaskan bahawa 40 peratus hasil kutipan Persekutuan daripada Sabah perlu diserahkan semula kepada negeri ini, seperti termaktub dalam perlembagaan.
“Walau peruntukan naik, pembangunan Sabah perlu diperhebat.
“Equal partner bukan hanya slogan, tetapi mesti dilaksanakan sebagai tanda muafakat,” katanya.