
SANDAKAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain, 65, meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ di sini, pada malam Ahad.
Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.20 malam setelah dimasukkan ke wad hospital berkenaan akibat serangan jantung.
Menurut pegawai khasnya, Azizul Nasry jenazah Mohamad Hamsan dibawa balik ke rumahnya di Taman Kong Lok, Sandakan untuk urusan pengebumian.
“Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Pangiran Batu 7 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bintang Baru Rancangan Sungai Manila sebelum waktu Zuhur hari ini.
“Sahabat handai boleh menziarahi Allahyarham buat kali terakhir di Masjid Pangiran Batu 7.
“Semoga roh Allahyarham sentiasa dalam hidayat, diangkat darjatnya, dimuliakan dan seterusnya ditempatkan bersama-sama para solihin serta orang-orang yang beriman,” katanya ketika dihubungi pada pagi Isnin.



