
KUANTAN – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Pahang mungkin berdepan dilema apabila tidak mempunyai pilihan kecuali menyatakan sikap masing-masing terhadap ucapan kontroversi Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Speaker dewan undangan negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, semua ADUN dikehendaki membuat penyataan sikap berhubung kenyataan Pengerusi PN itu.
“Semua ahli yang berhormat (ADUN) di negeri ini perlu menyatakan pendirian tegas berhubung perkara tersebut kerana baginda Sultan Pahang adalah sebahagian dari dewan perundangan negeri ini.
“Selain itu, ia juga melibatkan ‘air muka dan maruah’ rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah baginda sultan yang menjadi payung negeri ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Muhyiddin kini menjadi perhatian apabila didakwa mempersoalkan keputusan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam isu pembentukan kerajaan persekutuan dan pelantikan perdana menteri selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Beliau membuat kenyataan itu semasa berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan.
Muhyiddin yang sempat menjadi perdana menteri selama 17 bulan susulan ‘Langkah Sheraton’ mendakwa, selepas PRU15, PN memiliki jumlah kerusi Dewan Rakyat yang lebih daripada mencukupi untuk membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri.
Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah adalah Agong ketika itu.
Baginda bagaimanapun sudah menjelaskan secara terbuka bagaimana proses pembentukan kerajaan dan pelantikan perdana menteri itu dibuat.
Menurut Al-Sultan Abdullah, baginda memberikan tawaran membentuk Kerajaan Perpaduan kepada Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang namun kedua-dua mereka menolak ‘sebulat-bulatnya’.
Setakat ini kira-kira 30 laporan polis sudah dibuat ke atas Muhyiddin, termasuk daripada pihak istana Pahang sendiri.
Ketika ini, daripada 42 keseluruhan kerusi DUN Pahang, 17 daripadanya dikuasai PN dengan dua diwakili Bersatu iaitu Kuala Sentul dan Lepar.
Baki 15 lagi adalah kerusi Pas.
Pas sendiri setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengulas isu ucapan Muhyiddin.