
ROBAN – Sekolah Kebangsaan (SK) St. Paul Roban bakal menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila projek naik taraf dewan terbuka sekolah itu diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM150,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti infrastruktur pendidikan luar bandar bagi memberi keselesaan kepada murid dan warga sekolah.
Mohd Chee hadir dalam sesi libat urus bersama pihak sekolah dan agensi pelaksana bagi membincangkan pelaksanaan projek berkenaan, selain meneliti beberapa pindaan terhadap pelan asal berikutan faktor teknikal tertentu.
“Tumpuan utama akan diberikan kepada penambahbaikan kemudahan asas yang lebih mendesak agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh murid serta komuniti sekolah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap perancangan dan pelaksanaan projek perlu dilakukan mengikut jadual serta diselia dengan teliti bagi memastikan hasilnya menepati standard dan memberi kesan positif kepada persekitaran pembelajaran.
“Saya berharap semua pihak dapat bekerjasama dan memastikan projek ini benar-benar memberi impak positif kepada sekolah dan masyarakat setempat,” tambahnya.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan Geran Projek Khas Kerajaan Sarawak berjumlah RM7,000 kepada PIBG SK St. Paul Roban, serta menyampaikan peruntukan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UniFOR) berjumlah RM250,000 kepada Persatuan Penginjil Kristian Roban, yang diterima oleh John Dom Baul, pengerusi persatuan berkenaan.





