AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin meninggal dunia selepas rebah ketika bermain bola sepak, hari ini.
Bekas striker Perak pada awal 90-an itu dilaporkan tidak sedarkan diri dan sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian selepas beraksi bersama bekas pemain kebangsaan lain dari Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang di Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.
Ishsam berusia 59 tahun dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh rakannya, Mohd Zakaria Mohamad yang juga bekas pemain bola sepak Perak ketika dihubungi media.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rozlita Abdullah dan empat orang anak.



