
MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyambut baik pelancaran mekanisme aduan rasmi Majlis Media Malaysia (MMM) yang dilihat sebagai saluran profesional dan berinstitusi bagi orang ramai serta pihak berkepentingan membuat aduan berkaitan amalan kewartawanan, etika media dan kandungan berita.
Beliau berkata, pengenalan mekanisme itu memberi peluang kepada masyarakat untuk menyampaikan aduan secara teratur dan tersusun.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah, dan amat mengalu-alukan pengenalan mekanisme aduan oleh MMM.
“Ini adalah satu saluran yang profesional dan berinstitusi untuk orang ramai, malah juga pihak berkepentingan, mengemukakan aduan berkaitan amalan kewartawanan, etika media dan kandungan berita,” katanya ketika sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Jelas beliau, mekanisme aduan itu dikendalikan di bawah Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan yang berfungsi secara bebas, telus dan tidak bersifat menghukum, selaras dengan prinsip kawal selia kendiri media.
Semalam, MMM mengumumkan mekanisme aduan rasmi itu kini dibuka dan beroperasi sepenuhnya sebagai saluran bebas dan tersusun bagi menangani isu berkaitan kandungan serta amalan media di negara ini.
Kenyataan itu berkata, sebarang aduan boleh dikemukakan melalui e-mel ke ke aduan@majlismedia.my atau menerusi laman web rasmi di https://majlismedia.my/complaints/.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club, BBC) yang baharu, dengan beberapa perkara utama perlu diberi keutamaan selepas pelantikan itu.
Katanya, perkara berkenaan termasuk pelantikan seorang setiausaha serta penyusunan semula komposisi Friends of Ministry (FOM) bagi setiap kementerian.
Pelantikan beliau dilihat sebagai langkah memperkukuh peranan Ahli Parlimen penyokong kerajaan dalam menyokong agenda pentadbiran serta memperkemas hubungan antara kementerian dan wakil rakyat di peringkat Parlimen.







