
TAWAU – Aduan sakit di bahagian sulit oleh seorang remaja akhirnya membongkar perbuatan rogol selepas pemeriksaan di hospital mengesahkan mangsa hamil sekali gus membawa kepada penahanan tiga lelaki di daerah ini.
Satu laporan polis kemudian dibuat selepas mangsa mengakui kepada kakaknya bahawa pernah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki yang dikenali di sebuah hotel.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan, dua lelaki 30-an berjaya diberkas di Jalan St Patrick.
“Hasil penahanan dua suspek tersebut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek yang bekerja sebagai buruh di hadapan sebuah kilang di Batu 3 Jalan Apas yang juga lelaki warga asing berumur 29 tahun.
“Semakan rekod jenayah lampau yang dilakukan ke atas kesemua suspek mendapati mereka tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau, ” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Kesemua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.



