
TIMBALAN Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad akan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang berkata, beliau sudah berhubung dengan Adam Radlan, 44, yang berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya.
“Oleh kerana hari itu dia tidak ada dalam negara, jadi kita perlukan bantuan beliau. Jadi kita dah dapat berhubung dengan beliau.
“Dalam tempoh terdekat, ada perkara kita berhubung dengan dia dan dia telah kembali (respons) kepada kita bersama peguamnya, Tan Sri Shafie Abdullah ada menghantar surat kepada SPRM memberi jaminan. Saya pun tak ingat tarikhnya tapi dia akan datang untuk memberi keterangan,” katanya.
Azam berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis SPRM–UiTM Inspira 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di UiTM Puncak Alam, Puncak Alam, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddi
SPRM sebelum ini mengesan Adam untuk membantu siasatan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya (MEX II) dari Persimpangan Putrajaya ke KLIA.
Adam sebelum ini turut disiasat berkait projek Jana Wibawa, namun mahkamah melepaskan dan membebaskannya daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memaklumkan bahawa SPRM bersetuju menawarkan kompaun RM4.1 juta kepada Adam berdasarkan representasi yang dikemukakan tertuduh.




