
KUMPULAN penentangan Palestin, Hamas pada Isnin mengesahkan kematian jurucakap ketenteraannya, Abu Ubaida, bersama beberapa komander kanan sayap bersenjata kumpulan itu dalam tempoh perang berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak dua tahun lalu.
Dalam satu kenyataan rakaman, sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, memaklumkan Abu Ubaida, yang nama sebenarnya Hudhayfah Abdullah al-Kahlout, merupakan suara utama kumpulan itu sepanjang konflik berkenaan, lapor Anadolu.
Hamas turut mengesahkan Ketua Turus Briged Al-Qassam, Mohammed Sinwar, terbunuh selepas mengetuai sayap ketenteraan kumpulan itu dalam apa yang disifatkan sebagai tempoh yang amat mencabar, susulan kematian komander lama mereka, Mohammed Deif.
Menurut kenyataan itu, Mohammed Shabana, Komander Briged Rafah, turut terkorban dan dilaporkan gugur bersama Ketua Politik Hamas, Yahya Sinwar.
Hamas juga memaklumkan kematian Hakam Al-Issa, yang dikatakan memegang pelbagai peranan kepimpinan termasuk menyelia latihan serta akademi ketenteraan kumpulan itu.
Selain itu, Raed Saad, yang dikenal pasti sebagai Ketua Bahagian Pembuatan dan bekas Ketua Operasi Briged Al-Qassam, turut disenaraikan antara pemimpin yang terbunuh.








