SUNGAI BULOH – Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan mencabar pihak yang membuat dakwaan mengaitkan Ahli Parlimen PKR dengan penerimaan wang dan urus niaga saham supaya menamakan individu terbabit serta mengemukakan bukti.
Beliau berkata, tuduhan yang berlegar ketika ini tidak disertakan sebarang bukti kukuh dan tidak wajar diterima bulat-bulat.
“Saya cabar sesiapa untuk namakan saya. Tengok saya saman ke tidak.
“Minta namakan siapa Ahli Parlimen itu. Tengok saya saman ke tidak,” katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, dakwaan berkaitan transaksi kewangan dan pemindahan saham berskala besar sepatutnya boleh dibuktikan dengan dokumen serta rekod rasmi.
“Macam mana serta-merta cerita ini, kita tak tahu sama ada betul atau tidak, tiada bukti, tidak ada satu pun dokumen dikemukakan sebagai bukti.
“Mana borang pemindahan? Tunjuk bukti mana transaksi itu? Apa bukti yang ada?” katanya.
Sementara itu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, sebarang tuduhan serius perlu disokong fakta dan tidak boleh dibuat berdasarkan andaian atau persepsi semata-mata.
“Kita bercakap dengan fakta, kita bercakap dengan kebenaran, dan kita bercakap dengan bukti.
“Saya tidak mahu berspekulasi, saya tidak mahu bercakap atas khabar angin dan saya tidak mahu cipta naratif palsu,” katanya.
Mengulas tindakan susulan, Ramanan berkata, laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
“Lepas ini saya minta timbalan ketua cabang buat laporan polis. Biar polis yang siasat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia turut menegaskan bahawa semua pihak perlu melalui proses undang-undang jika ingin membersihkan nama masing-masing.
“Kalau dia kata dia tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan mahu membersihkan nama, failkan kes di mahkamah, saman.
“Nyatakan dahulu siapa yang dimaksudkan, kemudian kita boleh periksa dengan pihak berkaitan,” katanya.
Pada selasa, Victor yang sedang disiasat pihak berkuasa berkaitan kes korporat mafia mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal mafia korporat, namun baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah itu tidak diselesaikan.
Dakwaan itu turut mencetuskan spekulasi mengenai individu dirujuk sebagai ‘Mr R’ yang dikaitkan dengan urus niaga saham berskala besar.




