
GEORGETOWN – Tindakan seorang individu mengisi minyak RON95 ke dalam tong plastik yang tular di media sosial di sebuah stesen minyak di Jalan Tengah, Bayan Lepas disahkan tidak menyalahi undang-undang.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, hasil siasatan mendapati individu terbabit merupakan seorang nelayan yang memiliki permit sah bagi pembelian bahan api.
Menurutnya, sepasukan pegawai penguat kuasa telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan bagi menjalankan siasatan lanjut serta mendapatkan maklumat terperinci.
“Siasatan mendapati, individu berkenaan dibenarkan membeli minyak mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta tertakluk kepada had kuota ditetapkan.
“Sehubungan itu, aktiviti pembelian minyak oleh individu tersebut adalah mematuhi peraturan dan tidak melibatkan sebarang kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menambah, sebarang pembelian bahan api melebihi 20 liter ke dalam tong memerlukan permit khas barang kawalan berjadual yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan.
Menurutnya, permit tersebut lazimnya diberikan bagi kegunaan tertentu seperti pengoperasian jentera pertanian dan sektor perikanan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“KPDN sentiasa menjalankan pemantauan berterusan di stesen minyak bagi memastikan pematuhan undang-undang.
“Penjualan bahan api ke dalam bekas selain tangki asal kenderaan melebihi 20 liter tanpa permit sah adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dikenakan tindakan tegas,” jelasnya.
Sehubungan itu, Jegan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
“Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan melalui saluran rasmi seperti WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian pusat panggilan 1-800-886-800 serta aplikasi ezAdu KPDN bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Terdahulu, satu rakaman video memaparkan individu mengisi minyak ke dalam tong di sebuah stesen minyak tular sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.





