PUTRAJAYA – Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) perlu dinilai secara adil dan tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan negatif oleh pelbagai pihak, memandangkan kerangka undang-undang tersebut masih berada dalam fasa awal pelaksanaan.
Ketua Aktivis, Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin berkata, dalam semangat keterbukaan dan demokrasi dasar awam, pelbagai entiti atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pandangan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kritikan terhadap Akta 872 ketika ini wajar dilakukan secara lebih berimbang serta mengambil kira konteks bahawa akta berkenaan belum lagi dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Adalah tidak wajar untuk terus memberi gambaran terlalu jumud, berat sebelah atau seolah-olah menjatuhkan hukuman awal terhadap satu kerangka undang-undang yang masih dalam proses pelaksanaan dan penambahbaikan melalui dialog bersama pemegang taruh.
“Hakikat yang juga perlu diingat ialah, sebahagian pihak yang kini lantang mengkritik akta ini sebelum ini bukanlah antara pihak yang menyokong usaha mewujudkan akta khusus bagi pekerja gig.
“Sedangkan perjuangan mendapatkan kerangka perlindungan undang-undang bagi komuniti pekerja gig telah mengambil masa bertahun-tahun melalui advokasi pelbagai pihak termasuk komuniti sendiri,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Apa yang penting, beliau memaklumkan,
perbahasan yang sedang berlaku ketika ini dilihat masih terlalu tertumpu kepada perspektif Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715 APAD) yang sememangnya berkait secara langsung dengan sektor e-hailing dan p-hailing.

“Namun kita harus memahami bahawa Akta 872 mempunyai skop yang jauh lebih luas. Ia bukan hanya menyentuh sektor pengangkutan gig semata-mata.
“Ia turut merangkumi sekurang-kurangnya 11 sektor ekonomi gig, termasuk, e-hailing, p-hailing, sektor seni kreatif, jurubahasa bebas, pekerja digital dan freelance serta pelbagai bentuk pekerjaan gig moden yang semakin berkembang dalam ekonomi digital,” katanya.
Sehubungan itu, Masrizal yang turut dikenali sebagai Jose Rizal berkata, menilai akta ini semata-mata dari sudut konflik dengan Akta 715 tanpa melihat gambaran keseluruhan ekosistem gig adalah pendekatan terlalu sempit.
Jelas beliau, pihaknya percaya bahawa Akta Pekerja Gig 2025 berpotensi menjadi satu ‘game changer’ dalam landskap pekerjaan moden di Malaysia.
“Buat pertama kali dalam sejarah negara, jutaan pekerja gig dari pelbagai sektor ekonomi digital akan mempunyai pengiktirafan undang-undang yang lebih jelas, mekanisme penyelesaian pertikaian khusus, asas perlindungan sosial yang lebih tersusun serta ruang institusi untuk dialog antara pekerja, platform dan kerajaan.
“GEM sambut baik usaha pihak Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang telah menganjurkan sesi libat urus bersama pemegang taruh baru-baru ini. Langkah tersebut adalah permulaan yang sangat positif dan wajar dipuji.
“Bagi kami, proses membina dasar yang baik sememangnya memerlukan dialog berterusan, ruang kritikan yang konstruktif serta kerjasama semua pihak. Semangat dialog sebegini adalah sesuatu yang sangat kami sanjung kerana ia membuka ruang untuk penambahbaikan secara bersama,” katanya.
Tamhahnya, GEM menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan KESUMA serta agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan pelaksanaan Akta 872 mampu memperkukuh ekosistem pekerjaan masa depan negara.
“Mana-mana dasar baharu, proses pelaksanaan sentiasa memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Namun pendekatan lebih matang ialah membina, memperbaiki dan memperkukuh sistem ini secara bersama, bukan menolaknya secara total sebelum ia benar diuji dalam pelaksanaan sebenar.
“Kami percaya akta ini boleh menjadi titik permulaan kepada reformasi besar dalam struktur pekerjaan masa depan Malaysia, khususnya dalam memastikan bahawa ekonomi digital berkembang seiring dengan keadilan sosial, perlindungan pekerja dan kemampanan industri.
“Akhirnya, matlamat kita semua seharusnya sama, iaitu memastikan masa depan pekerja gig Malaysia lebih terjamin, bermaruah dan berdaya tahan,” katanya.






