EXCO Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim sekali lagi membuat kenyataan memgelirukan dan berbentuk provokasi di laman Facebook beliau dengan mempersoalkan mengapa Sabah dan Sarawak boleh menikmati diesel lebih murah sedangkan Terengganu juga merupakan negeri pengeluar minyak.
Soalan ini kelihatan mudah, tetapi hakikatnya ia membandingkan dua sistem yang memang berbeza sejak sekian lama.
Hakikat pertama yang perlu difahami ialah Sabah dan Sarawak mempunyai struktur harga bahan api yang berbeza daripada Semenanjung.
Perbezaan ini bukan kerana status negeri pengeluar minyak semata-mata, tetapi kerana faktor geografi dan logistik yang jauh lebih mencabar.
Kedua-dua negeri tersebut mempunyai kawasan pedalaman yang luas, rangkaian jalan yang tidak menyeluruh serta kos pengangkutan yang jauh lebih tinggi.
Oleh itu kerajaan mengekalkan harga bahan api yang lebih rendah bagi memastikan kos barang keperluan harian tidak melambung di kawasan pedalaman.
Di Semenanjung pula, termasuk Terengganu, sistem harga bahan api menggunakan mekanisme subsidi nasional yang sama untuk semua negeri.
Sebelum pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel, rakyat di seluruh Semenanjung menikmati harga diesel sekitar RM2.15 seliter antara harga yang paling rendah di rantau ini.
Ini bermakna rakyat Terengganu tidak pernah diketepikan daripada sistem subsidi tersebut.
Dalam masa yang sama, Terengganu sebagai negeri pengeluar petroleum juga menerima bayaran royalti petroleum serta dana khas petroleum yang disalurkan bagi tujuan pembangunan negeri.
Dana ini bertujuan membantu meningkatkan kemudahan awam, peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Oleh sebab itu, membandingkan harga diesel di Sabah dan Sarawak dengan Terengganu tanpa melihat struktur dasar sebenar hanya akan menimbulkan salah faham.
Sistem harga bahan api di Borneo dan Semenanjung memang berbeza kerana faktor ekonomi dan geografi yang tidak sama.
Yang lebih penting bukanlah mencetuskan sentimen wilayah, tetapi memastikan hasil negeri dan bantuan kerajaan benar-benar dimanfaatkan untuk pembangunan rakyat.
Memahami dasar secara menyeluruh akan membantu rakyat menilai sesuatu isu secara adil dan tidak terperangkap dengan perbandingan yang separuh benar.
Fakta harus dijelaskan. Sentimen tidak boleh dijadikan alat politik.
Jelas cara politik Dr Azman bukan untuk menyatakan fakta tetapi politik sentimen yang memandulkan akal dan membenihkan pelampauan politik dalam kalangan masyarakat.


