KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin dimaklumkan, saman pemula bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berhubung keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun, melanggar Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar, yang berhujah pada prosiding permohonan Anwar untuk membatalkan saman pemula itu berkata, Perkara 118 melarang sesuatu pilihan raya dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya.
Beliau memaklumkan, sebarang cabaran sedemikian mesti difailkan dalam tempoh 21 hari daripada warta rasmi keputusan pilihan raya, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Katanya, dalam saman pemula itu, tiada petisyen difailkan, dan Waytha Moorthy hanyalah seorang penyibuk apabila memfailkan saman berkenaan terhadap Anwar.
Katanya, Waytha Moorthy juga tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang—undang) untuk memulakan tindakan bagi mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 34 AKPR 1954.
Berdasarkan kepada dokumen hujahan pula, menyatakan saman pemula berkenaan yang difailkan 12 Ogos tahun lalu, tidak difailkan di hadapan seorang hakim pilihan raya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 33 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ia juga menyatakan, saman pemula itu difailkan di luar tempoh masa mandatori bagi memfailkan petisyen pilihan raya sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 38 AKPR 1954.
Selain itu, ia dimulakan bagi tujuan yang tidak wajar dan tujuan sampingan, termasuk untuk meraih keuntungan politik, mengekalkan relevan dari segi politik, dan untuk mengganggu defendan (Anwar).
Ia turut menyatakan, adalah jelas bahawa relif yang dimohon melalui saman pemula iini, pada hakikat dan kesannya, adalah relif yang hanya boleh dituntut melalui petisyen pilihan raya.
Saman pemula itu juga dikatakan remeh atau menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah, dan oleh itu wajar dibatalkan.
Sementara itu, peguam S Karthigesan
mewakili Waytha Moorthy berhujah, Anwar telah tersalah nyata dengan kes plaintif dengan menyatakan bahawa plaintif hanya merungut mengenai kecacatan prosedur semata-mata.
Beliau berkata, adidavit anak guamnya secara nyata menghujahkan bahawa:
pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak secara jelas menyingkirkan hilang kelayakan di bawah Perkara 48 perlembagaan.
Peguam itu berkata, pemilihan dan pelantikan seterusnya Anwar adalah tidak sah di sisi perlembagaan menurut Perkara 50.
“Hujahan ini membangkitkan persoalan perlembagaan yang substantif dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja sebagai suatu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.
Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Hakim Alice Loke Yee Ching kemudian menetapkan 18 Mac ini untuk menyampaikan keputusannya.
Turut hadir, Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali dari Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).
Pada 10 Oktober 2025, Anwar memohon untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan ia melanggar pelbagai prosedur dan keperluan perlembagaan serta berkanun lain mandatori, yang ditetapkan untuk mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.
Anwar menegaskan, saman berkenaan tidak berasas, dan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah serta menyalahgunakan proses mahkamah.
Waytha Moorthy selaku plaintif memfailkan saman pemula pada 12 Ogos tahun lalu bagi perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Beliau turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Pada 14 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan media memaklumkan tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.
Ia berikutan Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.
AGC berkata, sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

