
DALAT – Cakna dengan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi, Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib tampil turun padang meninjau sendiri fasiliti di Klinik Kesihatan Kuala Oya.
Lawatan kerja itu bertujuan melihat secara dekat cabaran sebenar yang dihadapi petugas kesihatan, di samping memastikan keluh-kesah serta keperluan pesakit diberi perhatian yang sewajarnya.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Pengurusan), Banges Munga dan Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah, Dr Muhammad Najib Hasan @ Ahmad.
Semasa sesi berkenaan, Hanifah telah diberikan taklimat komprehensif berhubung operasi klinik, aspek penjawatan, kemudahan sedia ada, serta beberapa kekangan yang menuntut jalan penyelesaian segera.
Menurut beliau, pendekatan turun padang seumpama itu amat signifikan bagi memastikan setiap isu di peringkat lapangan dapat dikenal pasti tanpa tapisan dan ditangani secara efektif.
“Melalui lawatan seperti ini, kita dapat melihat sendiri keadaan sebenar di fasiliti kesihatan dan memahami keperluan petugas serta komuniti setempat bagi menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan,” katanya ketika ditemui oleh pemberita

Jelas Hanifah, peranan Klinik Kesihatan Kuala Oya amat besar memandangkan ia menyediakan perkhidmatan rawatan kepada kira-kira 5,397 penduduk, melibatkan sembilan buah kampung di sekitarnya.
Sehubungan itu, tegasnya, penambahbaikan berterusan merangkumi aspek kemudahan asas, tenaga kerja, dan sokongan logistik adalah amat kritikal demi memastikan golongan luar bandar tidak dipinggirkan daripada mendapat akses kesihatan berkualiti.
Beliau pada masa sama mengulangi komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus memperkasa sistem penjagaan kesihatan awam khususnya di pedalaman, selaras dengan agenda mewujudkan kesejahteraan rakyat yang inklusif dan mampan.







