KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib melakukan siasatan penuh, telus dan teliti dalam skandal 1BestariNet.
Ini bagi memastikan tidak ada pihak yang terbabit dalam skandal berkenaan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Pengarah Strategi PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid berkata, perkara itu memerlukan tindakan tegas memandangkan jumlah ketirisan wang negara dalam skandal berkenaan lebih RM4 bilion.
“Jumlah kerugian itu besar dan ia adalah wang negara, wang rakyat.
“Jadi, ada pihak perlu bertanggungjawab kerana setiap urusan… kelulusan dan sebagainya, ada individu yang membenarkan projek itu dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press.
Ahmad Nizam memaklumkan idea memperkenalkan 1BestariNet pada asalnya sangat bagus, cuma pelaksanaannya mendatangkan kesusahan kepada pelajar sekolah.
“Idea asalnya bagus untuk anak-anak sekolah dan pelajar, tetapi pelaksanaannya didapati… liputan itu sangat teruk dan lebih malang lagi dicemari pula dengan rasuah.
“Sebagaimana yang dimaklumkan oleh SPRM dalam satu dua hari ini, jadi kita menggesa SPRM membuat siasatan yang menyeluruh.
“Pada masa yang sama juga, mereka yang terlibat itu wajib dibawa ke muka pengadilan,” katanya lagi.

Beliau dalam masa yang sama menyatakan rasa skeptikal atau sinis dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersungguh-sungguh untuk menjadi Perdana Menteri kali kedua.
“Saya terfikir juga kenapa agaknya Muhyiddin begitu ghairah nak jadi perdana menteri semula.
“Adakah benar-benar nawaitu dia nak berkhidmat untuk negara atau untuk menutup skandal 1BestariNet ini?
“Jadi, ini juga harus dilihat dari sudut itulah… tak pernah lagi dalam sejarah Malaysia moden ini orang yang obses nak jadi perdana menteri sebagaimana (ditunjukkan) oleh Muhyiddin,” ujarnya.
Projek 1BestariNet dimulakan sekitar tahun 2011 dan ketika itu Muhyiddin adalah Menteri Pendidikan ke-19 Malaysia.
Ahmad Nizam berkata, kesungguhan Muhyiddin itu secara jelas ditunjukkan ketika siri kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.
“Sehinggakan semasa di Gua Musang (PRK Nenggiri) dia menunjukkan ketaasuban dia (nak jadi perdana menteri)… sangat mencolok matalah,” jelasnya.
Muhyiddin dalam ceramah di Felda Perasu ketika PRK Nenggiri mendakwa beliau mempunyai jumlah mencukupi untuk dilantik semula sebagai perdana menteri.








