KUANTAN – Kerjasama baik dan hubungan rapat antara agensi kerajaan di Pahang memainkan peranan penting dalam menjayakan sistem penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Menyedari kepentingan menjaga hubungan sedia terjalin itu, pasukan bola jaring dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang menganjurkan perlawanan persahabatan hujung minggu lalu.
Perlawanan itu diadakan di gelanggang bola jaring Majlis Bandaraya Kuantan, dekat Taman Bandar, Indera Mahkota.
Pegawai SSM, Himmatun Alia Abdul Halim berkata, perlawanan persahabatan itu bertujuan mempereratkan hubungan antara kedua-dua organisasi sambil mempromosikan kecergasan fizikal dan gaya hidup sihat.
“Tiada pasukan yang menang atau kalah dalam perlawanan ini, kita cuma nak raikan semangat kerjasama antara SSM dan Perkeso.
“Selain itu, melalui program seperti ini, kami dapat mengenali lebih rapat antara satu sama lain,” katanya.
Dia berkata, penganjuran program berkenaan adalah antara inisiatif SSM dan Perkeso Pahang mempromosikan kesejahteraan dan perpaduan dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.






