
MUKAH – Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini membawa sinar kegembiraan kepada 30 pesakit Hospital Mukah apabila Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib mengadakan Ziarah Kasih sambil menyampaikan sumbangan kepada mereka, pada Isnin.
Dalam lawatan tersebut, setiap pesakit menerima bakul makanan bernilai RM100 serta sumbangan wang tunai RM200 sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pesakit dan keluarga mereka.
Hanifah berkata, sumbangan itu diharap dapat menceriakan pesakit sempena musim perayaan selain memberi sokongan moral agar mereka terus kuat menghadapi rawatan.
Selain menyantuni pesakit, beliau turut meninjau keadaan hospital dan kemudahan yang disediakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan di Hospital Mukah berada pada tahap terbaik.
Dalam sesi sama, beliau menerima taklimat daripada Pengarah Hospital Mukah, Dr Ardif Damiri berhubung operasi hospital, cabaran semasa serta keperluan yang memerlukan perhatian berterusan.
Lawatan itu turut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan kebajikan pesakit sentiasa menjadi keutamaan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Program Ziarah Kasih ini disifatkan sebagai simbol kebersamaan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum selaras dengan semangat Tahun Baharu Cina”, katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.






