
Oleh: Lina B
BINTULU – Dua individu termasuk seorang remaja lelaki ditemui rentung dalam kebakaran tragis membabitkan sebuah blok rumah pekerja dua tingkat di Jalan Sungai Nyigu, awal pagi Isnin.
Kejadian yang berlaku memusnahkan sepenuhnya struktur kediaman tidak kekal 31 pintu tersebut yang berkeluasan 100 x 30 kaki persegi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 pagi sebelum menggerakkan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi yang terletak enam kilometer dari balai itu, api didapati sedang marak memusnahkan keseluruhan blok bangunan.
“Operasi pemadaman diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Alimun Talip dengan pemantauan Ketua BBP Bintulu, TPgB I Christus Anak Buson serta PPgB Francis Aceh Anak Angai,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihak bomba menggunakan sumber air terbuka daripada sungai berhampiran melalui pam ke tangki jentera dengan membentang dua aliran sepanjang 300 kaki.
Pemeriksaan lanjut di lokasi runtuhan pada jam 4.20 pagi telah membawa kepada penemuan dua mangsa dalam keadaan rentung.
“Mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita, Taun Nyaring, 61, dan seorang remaja lelaki, Melbourne Jeasy, 15.
“Selain bangunan, kebakaran turut memusnahkan tiga buah motosikal sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 40 peratus,” jelasnya.
Tambah beliau, mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi pemadaman melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), masing-masing sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Pasukan bomba menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 5.30 pagi selepas memastikan keadaan benar-benar selamat. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan unit forensik.







