
SANDAKAN – Kapal Doulos Hope yang terkenal dengan pesta buku terapung kini berlabuh di Jeti Pelabuhan Sandakan bermula 4 September sehingga 22 September.
Menurut kru kapal yang ditemui, orang ramai boleh melayari laman Facebook Doulos Hope Malaysia atau laman web rasmi kapal berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tempahan tiket, selain tatacara membuat tempahan tiket.
“Kadar bayaran dikenakan kepada pengunjung dewasa adalah sebanyak RM2 manakala kemasukan bagi kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas melebihi 65 tahun adalah percuma.
“Waktu operasi adalah dari Selasa hingga Ahad, bermula 2 petang hingga 9 malam, dengan kemasukan terakhir pada pukul 8.30 malam dan ditutup pada setiap Isnin.
“Para pelawat hendaklah mendaftar dan mendapatkan tiket serta slot masa dalam talian yang ditetapkan,” jelasnya.
Lebih 100 sukarelawan dari lebih 30 negara menyertai pameran berkenaan.
Kapal berpangkalan dari Jerman itu dibuka kepada umum dengan pilihan sebanyak 2,000 buah buku dengan pelbagai genre bahan bacaan pada harga yang berpatutan.




