
SANDAKAN – Cadangan penamatan operasi pasar malam borong di kawasan Pasar Umum Sandakan selepas 28 Februari depan telah disalah tafsir oleh pihak tertentu dan seterusnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata, langkah berkenaan bukan penutupan pasar malam borong tersebut, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada proses penstrukturan dan perancangan semula oleh pihak berkuasa tempatan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) giat melaksanakan usaha penambahbaikan bandar, khususnya di kawasan Pasar Umum Sandakan yang sering berdepan masalah kesesakan lalu lintas dan kebersihan.
“Cadangan menyusun semula pasar malam borong ini sebenarnya telah dibincangkan lebih awal, termasuk mencari lokasi yang lebih sesuai iaitu di Pasar Ramai-Ramai bagi memastikan operasi peniaga dapat diteruskan dalam keadaan lebih teratur,” ujarnya selepas mengadakan kunjungan bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Yap Hsiu Min, kepada Presiden MPS, Walter Kenson, pada Rabu.
George turut memberi jaminan MPS tidak akan bertindak secara unilateral tanpa rundingan, sebaliknya akan mengadakan sesi libat urus bersama peniaga terlibat bagi mendengar pandangan serta kebimbangan mereka.
“Saya berharap semua pihak yang terkesan dapat bersabar dan tidak salah tafsir perkara ini. Ia adalah sebahagian daripada usaha pembaharuan bandar.
“Pasar malam borong tidak dibatalkan, sebaliknya dirancang semula supaya dapat beroperasi di lokasi yang lebih sesuai,” tegasnya.
George berkata, beliau turut terlibat dalam proses perancangan pemindahan pasar borong itu ketika masih memegang jawatan ADUN Karamunting dan antara cadangan awal ialah memindahkan terlebih dahulu gerai borong sayur-sayuran ke Pasar Ramai-Ramai bagi membantu melancarkan aliran trafik serta memperbaiki tahap kebersihan di sekitar Pasar Umum Sandakan.
Beliau juga menyeru semua pihak melihat isu berkenaan dari sudut kepentingan jangka masa panjang pembangunan Sandakan dan menyokong inisiatif pembaharuan dan inovasi yang dilaksanakan MPS.




