KUALA LUMPUR – Aktivis Pendidikan Negara, Mohd Nor Izzat Johari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat YTL Communications Sdn Bhd sebagai sebahagian siasatan terhadap projek bernilai RM4 bilion 1BestariNet yang sudah dihentikan.
Cikgu Izzat yang sudah bersuara berkait projek 1Bestari.Net ini sejak 2014 mendakwa, projek korup ini wajib disiasat dan diambil tindakan sekeras-kerasnya kepada Menteri Pendidikan, pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pegawai JPN dan pegawai PPD dari tahun 2011 hingga 2015 yang terlibat dalam pelaksanaan 1BestariNet ini.
“Alhamdulillah. Akhirnya SPRM telah mulakan siasatan ke atas projek 1BestariNet yang telah menyusahkan seluruh pendidik di negara ini satu ketika dulu sekitar 2012-2015.
“Daripada bahana projek ini jugalah, wujudnya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan akhirnya membawa kepada PMR dimansuhkan.
“Dalam masa 43 hari saya menentang bersama rakan guru ketika itu, PBS dihentikan dan digantikan kepada PBD. Manakala PMR yang dimansuhkan terpaksa digantikan PT3,” ujar Cikgu Izzat dalam catatan di Facebooknya.
Cikgu Izzat berkata demikian, sebagai respons balas kepada laporan berita, SPRM semalam menyerbu pejabat YTL Communications Sdn Bhd sebagai sebahagian siasatan terhadap projek bernilai RM4 bilion 1BestariNet yang sudah dihentikan dan dalam kunjungan SPRM ke sebuah pejabat agensi kerajaan berhubung projek sama.
Susulan itu SPRM menyita sejumlah dokumen.

Kerajaan memberikan tender bagi perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.
SPRM juga difahamkan sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan yang menjurus kepada dokumen tuntutan mengandungi butiran palsu membabitkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion.
Tegas Cikgu Izzat, projek korup ini wajib disiasat dan diambil tindakan sekeras-kerasnya kepada Menteri Pendidikan, pegawai KPM, pegawai JPN dan pegawai PPD dari tahun 2011 hingga 2015 yang terlibat dalam pelaksanaan 1BestariNet ini.
“Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kali ini, saya sokong sepenuhnya! ujarnya.
Pada 17 Jun 2014, Cikgu Izzat mendakwa projek 1BestariNet di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan itu menyusahkan bukannya memudahkan guru seperti tujuan asal ia diperkenalkan.
Menurutnya, kuota Internet yang disediakan hanya 300Mb sahaja sebulan bagi setiap sekolah.
“Saya merasakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjadi kambing hitam dalam isu masalah perkhidmatan 1BestariNet. Ia diperkenal oleh KPM bagi mempermudah segala urusan dalam talian untuk kegunaan para guru di Malaysia.
“Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah perkhidmatan yang diberikan agak menyedihkan malah menyusahkan lebih 300,000 guru di seluruh Malaysia,” katanya memetik laporan media.
Malah katanya, projek itu hanya menyediakan 1Mbps dengan bayaran melebihi RM200 yang merugikan kementerian.
“1BestariNet hanya menyediakan 1Mbps dengan bayaran melebihi RM200 atau mungkin lebih mahal dan merugikan kementerian. 1BestariNet hanya menyediakan kuota 300Mb sahaja untuk kegunaan satu sekolah setiap bulan.
“1BestariNet telah menyebabkan lebih 300,000 guru terbeban dengan sistem server yang lembap,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon pihak KPM mempertimbangkan semula perkhidmatan YTL Communications Sdn Bhd.
“Saya memohon kepada pihak KPM agar mempertimbangkan semula perkhidmatan YTL iaitu 1BestariNet yang lebih memalukan pihak KPM sendiri.
“Saya yakin, KPM mahu menyediakan kemudahan terbaik seiring dengan PPPM 2013-2025 iaitu penggunaan ICT ke tahap maksimum tetapi KPM wajar memilih syarikat perkhidmatan yang lebih baik daripada sedia ada,” katanya.






