Kerajaan gugur cadangan ujian saringan kemasukan Tahun 1

KERAJAAN memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ujian saringan diagnostik bagi kemasukan kanak-kanak ke Tahun 1 pada usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira implikasi pelaksanaannya, termasuk risiko kesan psikologi terhadap kanak-kanak serta kebimbangan ia boleh mewujudkan elemen diskriminasi dalam sistem pendidikan awal.

“Cadangan awal (ujian diagnostik) itu baik sebab ada satu sistem penilaian sebelum anak masuk ke sekolah… tetapi difikirkan nanti ia jadi diskriminatif.

“Maknanya, ada anak-anak ini nak masuk darjah 1, prasekolah, (dikatakan) tidak layak, dia kurang cerdik dan sebagainya. Mungkin ada kesan psikologi. Oleh itu, ditiadakan. Itulah cadangan Menteri Pendidikan dan saya setuju ditiadakan dan dipermudahkan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, walaupun ujian saringan formal tidak dilaksanakan, pemantauan terhadap tahap perkembangan dan kesiapsiagaan murid tetap perlu diteruskan melalui peranan bersama guru dan ibu bapa, khususnya menerusi pemerhatian berterusan di peringkat awal persekolahan.

Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan adalah memastikan kanak-kanak berusia 6 tahun menerima peluang pembelajaran yang sesuai dan seimbang, selaras dengan perkembangan pendidikan semasa.

Mengulas pandangan supaya kemasukan ke Tahun Satu ditangguhkan, Anwar berkata Malaysia tidak wajar ketinggalan dalam sistem pendidikan global memandangkan seramai 137 negara telah melaksanakan kemasukan formal ke sekolah rendah pada usia enam tahun.

Dalam usaha menyokong pelaksanaan dasar tersebut, beliau berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM800 juta dalam Belanjawan tahun ini, termasuk bagi tujuan pengambilan 18,000 guru baharu.

“Memang benar, saya tak nafikan kalau ikut Kementerian (Pendidikan) pada peringkat awal, dia kata boleh tak kita tangguh setahun lagi. Saya fikir agak berbeda, saya kata kalau kita tangguh setahun lagi, anak-anak kita itu rugi setahun.

“Anak-anak kita generasi sekarang tak seperti dulu, umumnya mereka jauh lebih dewasa, lebih pintar, lebih peka…jangan kita fikir guna tahap pemikiran kita yang lama, memang kita rasa tak boleh. Tapi anak-anak kita jauh lebih pintar, yang penting, beri pendedahan kepada mereka,” katanya.

Berhubung isu kesesakan sekolah, Perdana Menteri mengakui cabaran itu masih wujud khususnya di kawasan bandar, namun berkata pelaksanaan persekolahan dua sesi boleh dipertimbangkan bagi murid prasekolah dan Tahun Satu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun 1 belum diwajibkan pada peringkat awal, sebaliknya ibu bapa digalakkan membuat pertimbangan berdasarkan kesiapsiagaan anak masing-masing.

Menurutnya, pendaftaran kemasukan bagi sesi persekolahan 2027 akan dibuka dari 15 Februari hingga 31 Mac ini, manakala pendaftaran prasekolah bagi kanak-kanak berusia lima tahun akan bermula secara pilihan pada 6 April 2026.

“Itupun saya ingin menggesa sebaik mungkin semua anak-anak mendaftar. Mengapa kita beri pilihan? Kerana pada peringkat awal, kita tidak mahu ibu bapa merasakan kejutan atau paksaan. Tetapi kita sediakan ruang. Ada setahun untuk masuk ke Darjah 1,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peluasan pendidikan percuma kepada kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun dijangka meningkatkan perbelanjaan kerajaan, namun semua aspek pelaksanaan sedang diperhalusi secara menyeluruh.

“Sebab itu saya lihat Kementerian Pendidikan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan telah bergegas untuk melihat semua aspek ini. Aspek dana, aspek persiapan kurikulum, aspek sikap ibu bapa, itu diteliti sekarang supaya kita dapat laksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Related Posts

Kerajaan Persekutuan ‘bocorkan’ Johor, nilailah berdasar fakta bukan persepsi

PERSEPSI menerusi wacana politik sering menjadi senjata paling ampuh apabila suatu dakwaan yang acap kali diangkat berulang kali berupaya membentuk keyakinan umum, walaupun hakikatnya masih memerlukan pengesahan melalui fakta dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penurunan harga diesel bukti kerajaan tangkas ringankan beban rakyat

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menurunkan harga diesel dilihat sebagai satu langkah yang tangkas dan signifikan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan pengguna diesel yang terkesan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan Persekutuan ‘bocorkan’ Johor, nilailah berdasar fakta bukan persepsi

Kerajaan Persekutuan ‘bocorkan’ Johor, nilailah berdasar fakta bukan persepsi

Penurunan harga diesel bukti kerajaan tangkas ringankan beban rakyat

Penurunan harga diesel bukti kerajaan tangkas ringankan beban rakyat

Kerajaan Negeri komited perkukuh pembangunan bola sepak di Sabah – Azrul

Kerajaan Negeri komited perkukuh pembangunan bola sepak di Sabah – Azrul

Perjuangan hak MA63 perlu sokongan padu rakyat Sarawak – Adam Yii

Perjuangan hak MA63 perlu sokongan padu rakyat Sarawak – Adam Yii

Program Bakti Belia MADANI Sarawak pupuk semangat kesukarelawanan

Program Bakti Belia MADANI Sarawak pupuk semangat kesukarelawanan

Perjanjian Petronas di Turkmenistan, Rusia bukti kehebatan diplomatik Malaysia di peringkat global

Perjanjian Petronas di Turkmenistan, Rusia bukti kehebatan diplomatik Malaysia di peringkat global