BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah meraih gelaran pertama mereka tahun ini selepas muncul juara Masters Indonesia yang diperoleh ‘tanpa mengeluarkan sebarang peluh’.
Kejayaan pada kejohanan berstatus Super 500 BWF di Istora Senayan itu diraih secara ‘percuma’ selepas lawan mereka di final, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi dari Jepun menarik diri sebelum aksi berlangsung.
Difahamkan, keputusan itu diambil oleh pasangan Jepun berkenaan atas faktor kecederaan, sekali gus membolehkan Pearly-Thinaah dinobatkan sebagai juara dan menebus kekecewaan pada edisi lalu.
Keputusan itu turut menjadikan Pearly-Thinaah beregu wanita kedua negara yang berjaya menawan kejohanan itu – dan menamatkan penantian selama 15 tahun Malaysia – bagi acara sama, selepas kali terakhir ia dimenangi gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada tahun 2011.




