
KOTA KINABALU – Pengguna ruang letak kereta awam di Bandaraya Kota Kinabalu boleh memuat turun aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ bermula 9 September pada Isnin depan.
Perkara itu dihebahkan menerusi Facebook Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Menurut siaran itu, aplikasi boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play bagi pengguna Android dan AppStore bagi pengguna iOS.
“Aplikasi tersebut adalah menggantikan sistem tempat letak kereta berkupon sedia ada.
“Walau bagaimanapun, pengguna yang masih mempunyai baki kupon fizikal (gores) masih boleh menggunakannya sehingga habis.
“Antara perkhidmatan yang ditawarkan menerusi aplikasi ini adalah pembayaran caj letak kereta awam di sekitar bandar raya, membuat semakan tunggakan kompaun dan pembelian pas parkir bulanan,” kata siaran itu.
Justeru, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Tempat Letak Kereta, DBKK Holdings Sdn. Bhd melalui talian 088-270181/182, 012-7690181 atau pergi ke kaunter/ kiosk tempat letak kereta untuk maklumat lanjut.





