
VLADIVOSTOK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa kerajaan tidak pernah membincangkan untuk melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai alternatif kepada penyelarasan subsidi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan sebaliknya menegaskan, perbincangan tertumpu kepada strategi belanjawan dan cara untuk meningkatkan hasil kerajaan dalam usahanya untuk menangani isu kenaikan kos.
“Tiada yang khusus (mengenai GST) telah dibincangkan. Sesebuah negara tidak boleh ditadbir berdasarkan khabar angin,” katanya pada sidang media hari terakhir lawatannya ke Rusia, di Vladivostok pada Khamis.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai laporan oleh agensi berita asing Bloomberg baru-baru ini yang melaporkan Malaysia sedang menimbang untuk melaksanakan semula cukai tersebut bagi menggantikan penyelarasan subsidi untuk petrol yang biasa digunakan ketika kerajaan berusaha untuk meningkat kewangannya.
Anwar berada di Vladivostok sempena menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9. Lawatan kerja dua harinya ke bandar pelabuhan terbesar di rantau timur jauh Rusia ini berakhir hari ini.






