
BENTONG – Pelajar sekolah agama dan pondok perlu menguasai ilmu baharu, termasuk kemahiran digital untuk dijadikan benteng kekuatan umat Islam di negara ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguasaan itu penting sejajar dengan perubahan dan cabaran semasa.
Menurut Perdana Menteri, penambahbaikan itu bukan bermakna sistem pendidikan dilaksanakan di sekolah agama atau pondok selama ini perlu dirombak.
“Sebaliknya usaha dilakukan untuk memperluaskan penguasaan ilmu dalam kalangan pelajar sekolah agama dan pondok.
“Dunia kini terancam dengan penguasaan digital, kecerdasan buatan (AI), komputer dan kita semua perlu menguasai kemahiran ilmu baharu itu.
“Kalau nak lawan sebagai benteng ialah menerusi iman, akhlak, ilmu dan penguasaan teknologi baharunya.
“Terima kenyataan perubahan menuntut kita bersiap sebagai pendakwah, pendidik dan muaalim yang mampu menghadapi cabaran zaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz Negeri Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, selain penguasaan ilmu baharu itu, beliau mahu sekolah agama dan pondok turut menguasai pendidikan Bahasa Melayu dan Sejarah.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan setiap rakyat memahami Perlembagaan Negara.
“Kita dibesarkan di Malaysia, pergi ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), pergi Sekolah Arab, pergi sekolah antarabangsa, tetapi sejarah kosong dan tidak tahu perlembagaan.
“Perlembagaan kita menjamin satu kemerdekaan, sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedudukan Islam agama persekutuan, Bahasa Melayu bahasa rasmi, kedudukan dan kedaulatan raja-raja Melayu dan hak keistimewaan Melayu Bumiputera.
“Perkara itu perlu diajar, Kalau tidak sampai bila?. 60-70 tahun merdeka, asyik sibuk bergaduh soal bahasa, soal hak keistimewaan,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu tidak perlu dipertikaikan kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan dan perlu diajar kepada semua.
“Mengikut sejarah, peranan sekolah agama dan pondok juga amat besar dan menjadi benteng pertahanan iman dan ilmu ketika negara dijajah Barat.
“Ketika itu jiwa dan pemikiran, ekonomi, pendidikan dan politik dikuasai Barat. Jadi apa peranan sekolah agama dan pondok ketika itu ialah menjadi benteng pertahanan iman dan ilmu,” katanya.




