
Kuala Lumpur: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang berdepan empat pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM2.12 juta, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Pengakuan itu dibuat sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa menerima hasil aktiviti haram iaitu wang masing-masing RM969,000; RM474,850; RM488,550; dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga cawangan bank sekitar Kuala Lumpur antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.
Pendakwaan dijalankan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.







