
SIBU – Projek pembangunan semula kawasan Bukit Assek yang meliputi keluasan kira-kira 800 ekar dijangka dapat dimulakan pada tahun ini, sekali gus membuka lembaran baharu transformasi bandar Sibu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan antara inisiatif pembangunan bandar terbesar yang pernah dirancang di negeri ini.
Menurutnya, selepas melalui proses kajian, tinjauan dan perancangan teliti selama hampir empat tahun, kerajaan negeri optimis fasa awal pembangunan dapat digerakkan pada 2026.
“Saya percaya projek ini merupakan antara ‘anugerah’ pembangunan terbesar daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada rakyat Sibu.
“Ia bakal memperkukuh kedudukan bandar ini sebagai pusat ekonomi wilayah tengah selain meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian dan Upacara Menghidupkan Mata Singa di Tokong Datuk Kong, pada Ahad.
Dalam perkembangan berasingan, Michael turut memaklumkan projek naik taraf infrastruktur di kawasan Pelawan, termasuk di Jalan Ling Kai Cheng dan Jalan Ulu Sungai Merah kini berjalan lancar.

Jelas beliau, projek tersebut dijangka siap mengikut jadual bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





