
KUCHING – Acara renang, terjun dan boling sepuluh pin antara sukan yang ingin dijadikan sebagai acara sukan yang akan berlangsung di Kuching sebagai tuan rumah pada Sukan Asia Tenggara (SUKAN SEA) 2027 kelak.
Menurut Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Sarawak mempunyai kemudahan yang terbaik untuk acara seperti ini selepas kerja naik taraf yang telah pun dilaksanakan pada SUKMA yang lepas.
“Sebagai contoh, untuk boling tenpin, saya rasa tiada negeri lain yang mempunyai 42 lorong boling seperti yang ada di Megalanes,” katanya.
“Contoh lain adalah lapang sasar kita. Pada masa ini, ia merupakan yang terbaik di Malaysia selepas naik taraf Sukma selepas membelanjakan hampir RM4 juta hanya untuk sistem elektronik,” ujarnya semasa sidang media di Bangunan Baitulmakmur 2 pada Selasa.
Manakala bagi acara olah raga pula, beliau membincangkan perkara ini dengan Kuala Lumpur.
Tambah beliau lagi, Sarawak juga tidak akan memonopoli penganjuran acara sukan dan perlu memberi peluang kepada negeri lain.




