
MIRI – Majlis Bandaraya Miri (MBM) kini menggerakkan fasa kedua pelan tindakan susulan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang melanda Kampung Piasau Utara.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, langkah itu diambil selepas kejadian banjir pada 9 Januari lalu yang menjejaskan beberapa kawasan perumahan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sistem perparitan yang tersumbat dan tidak mengikut spesifikasi menjadi punca utama air hujan gagal mengalir dengan lancar, menyebabkan kejadian air bertakung dalam tempoh singkat.
“Kita mendapati banyak saluran masih berbentuk parit tanah yang mudah tersumbat. Malah, terdapat laluan persendirian yang diubah suai oleh penduduk sehingga menjejaskan fungsi sistem perparitan sedia ada.
“Justeru, kerja pembersihan akan dijalankan segera bagi melancarkan aliran air. Bagi struktur persendirian yang bermasalah, tindakan pembaikan akan dilakukan kemudian,” katanya ketika meninjau kawasan tersebut pada petang Rabu.
Adam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut menjelaskan, kedudukan muara parit yang berhampiran dengan sungai turut menjadi cabaran, menyukarkan aliran air keluar apabila paras air sungai meningkat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan MBM akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi membaik pulih saluran serta merangka penyelesaian jangka sederhana dan panjang.
“Kami berharap langkah bersepadu ini menjadikan sistem perparitan lebih efisien, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk Piasau Utara,” ujarnya lagi.



