
BINTULU – Penemuan mayat seorang lelaki tanpa identiti yang terapung di Sungai Kemena berhampiran Kampung Baru menggemparkan penduduk setempat pada pagi Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada jam 10.36 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Eric Wilson Jutin digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah bot aluminium.
“Setibanya di lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai, pasukan penyelamat mengesahkan terdapat mayat seorang lelaki sedang terapung di sungai berkenaan.
“Mayat mangsa kemudiannya telah diambil dan dibawa oleh Pasukan Polis Marin ke Jeti Penambang untuk tindakan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut jurucakap itu lagi, pasukan bomba turut melakukan pemantauan di sekitar kawasan bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.16 pagi.
Operasi tersebut turut dibantu oleh enam anggota polis peronda dan tiga anggota Pasukan Polis Marin.



