
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan sekurang-kurangnya dua pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan didakwa di mahkamah minggu depan berhubung kes tender perolehan yang sedang disiasat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada pihak pendakwa raya pada Isnin ini.
Setakat ini, sebanyak 23 individu telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih diteruskan dan saya sudah arahkan pegawai penyiasat untuk segerakan siasatan.
“Saya sudah memberi arahan supaya kertas siasatan siap Isnin ini dan seterusnya dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibuat keputusan.
“Dalam kes ini, sekurang-kurangnya satu atau dua pegawai akan dituduh,” katanya pada sidang media perkembangan terkini siasatan kes membabitkan pegawai tertinggi tentera di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, hari ini.
Azam berkata bagi kes berkenaan, SPRM membuka 22 kertas siasatan membabitkan kesalahan predikat dan satu kes pengubahan wang haram. Seramai 30 saksi telah dirakam percakapan sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
“Bilangan saksi yang dirakam percakapan dalam kes ini adalah seramai 30 individu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SPRM telah menyita aset bernilai RM11.4 juta daripada dua kediaman, termasuk sebuah rumah rahsia di Kuala Lumpur. Sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan.
“SPRM turut menyita wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, satu unit kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000 dan 26 unit jam bernilai RM2.3 juta.
“Turut disita barang kemas bernilai RM294,039.90; dua bentuk cincin berlian (RM20,000), jongkong emas seberat 3.7 kilogram (RM2.5 juta), medalion emas 150 gram bernilai (RM102,000) dan dua dinar emas seberat 8.5 gram (RM5,780),” katanya.
Pada 7 Januari lalu, bekas PTD bersama dua isterinya ditahan berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat. Pegawai itu direman tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan bekas PTD dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember tahun lalu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
Agensi penguat kuasa itu juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.






