
KINABATANGAN – Masyarakat di kawasan DUN Lamag disifatkan matang dalam membuat penilaian politik khususnya dalam memahami keputusan calon Mohd Ismail Ayob (MIHA) sebelum ini bertanding sebagai Bebas yang kini menyertai BN.
Menurut MIHA, peralihan tersebut merupakan satu perkara lumrah dalam dunia politik dan setakat ini, reaksi dan maklum balas yang diterima daripada masyarakat Lamag adalah positif.
“Kita faham sangat tidak semua yang boleh menerima tetapi hanya segelintir dan bagi saya masyarakat Lamag ini berfikiran terbuka untuk menerima kita sebagai calon BN walaupun sebelum ini kita sebagai calon Bebas.
“Saya bagi faham masyarakat di Lamag supaya kita ini harus memilih calon dan memilih parti kerajaan yang mana penting untuk kita meneruskan kesinambungan dan juga untuk menyuarakan masalah serta membantu menyelesaikan masalah,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas beriadah bersama-sama komuniti Kampung Kasih Sayang, pada Ahad.
Mengenai pertembungan sengit satu lawan satu pada kerusi Lamag antara BN dan Warisan, MIHA berkata, situasi itu memberi ruang rakyat memilih kerajaan atau pembangkang.
“Sudah tentu bagi kita ada satu kerugian bagi masyarakat Lamag sekiranya memilih parti Warisan yang kita maklum andai kata pun menang tidak boleh membentuk menjadi Kerajaan Negeri.
“Apa yang diperlukan adalah wakil rakyat yang ada peruntukan dan bisa menyuarakan serta ada hubungan baik dengan Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan,”ujarnya.






