
KOTA KINABALU – Program Jualan Agro MADANI terus menjadi antara inisiatif utama kerajaan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, di samping memperkasakan kempen pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan sebagai sokongan kepada sektor pertanian negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, Jualan Agro MADANI menawarkan bakul makanan bernilai RM15 pada harga subsidi RM5 yang mengandungi 10 biji telur, bihun dan bawang putih, selain pengagihan kupon bernilai RM5 kepada pengunjung pasar tani untuk dibelanjakan semasa berbelanja di pasar tani berkenaan.
“Program ini memberi fokus untuk membantu menurunkan kos sara hidup satu keluarga.
“Jualan Agro MADANI menumpukan kepada barangan basah yang segar terus dari pasaran, berbeza dengan Jualan Rahmah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) yang lebih kepada barangan runcit dan barangan kering,” katanya semasa menghadiri Program Jualan Agro MADANI, Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan dan Sayur-sayuran Tempatan serta Program Back to School yang berlangsung di Pasar Tani Asia City, di sini pada Sabtu.

Menurutnya , berdasarkan peruntukan Belanjawan MADANI 2026 yang diluluskan pada akhir tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerima peruntukan kira-kira RM30 juta setahun bagi melaksanakan Program Jualan Agro MADANI di seluruh negara.
“Kita menyasarkan pelaksanaan program ini di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bagi tahun ini, Kota Kinabalu dipilih sebagai lokasi permulaan kerana ia merupakan kawasan saya sendiri, dengan pelancaran bermula di Pasar Tani Asia City,” jelasnya.
Selain Jualan Agro MADANI, program hari ini turut merangkumi Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan dan Sayur-sayuran Tempatan serta Program Back to School, yang menyaksikan seramai 100 orang penerima, terdiri daripada anak-anak pengusaha dan peniaga di bawah FAMA, menerima sumbangan beg sekolah sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu.
Mengulas mengenai kempen pemakanan sihat, beliau menggalakkan orang ramai agar tidak terlalu bergantung kepada buah import, khususnya menjelang sambutan Tahun Baru Cina, sebaliknya meningkatkan pengambilan buah-buahan tempatan seperti nanas dan buah naga yang bukan sahaja mudah diperoleh, malah menyokong petani tempatan.
“Selain limau mandarin, buah tempatan juga membawa simbol kemakmuran.
“Nanas melambangkan ‘ong’ atau rezeki, manakala buah naga yang berwarna merah sesuai dengan semangat perayaan.
“Kita boleh sambut perayaan dengan buah-buahan tempatan,” ujarnya.
Chan turut menyatakan komitmennya untuk menyokong kempen itu dengan menggantikan pemberian buah mandarin sebagai hadiah perayaan kepada rakan dan kenalan dengan buah-buahan tempatan.
Sementara itu, Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, Program Jualan Agro MADANI akan dilaksanakan sebanyak 5,000 kali di seluruh Malaysia, manakala di Sabah sahaja sebanyak 400 kali penganjuran dengan nilai jualan mencecah RM5 juta.
“Program tersebut akan terus diperluaskan ke seluruh Sabah termasuk di bandar-bandar utama bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan makanan segar pada harga berpatutan,” katanya.







