
KINABATANGAN – Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon berwibawa dan bersedia berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Mohd Naim Kurniawan dipilih sebagai calon Parlimen Kinabatangan manakala Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai MIHA dicalonkan bagi DUN Lamag.
Menurut beliau, pemilihan kedua-dua calon itu dibuat secara teliti dengan mengambil kira aspek kepimpinan, penerimaan masyarakat setempat serta kemampuan berkhidmat secara konsisten kepada rakyat.
“Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah, BN komited untuk memastikan kestabilan politik, pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen selama 14 hari, BN akan menumpukan pendekatan berorientasikan rakyat dan berasaskan fakta, selain memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan calon.
“Pendekatan ini membolehkan rakyat memahami dengan lebih jelas visi, misi serta perancangan pembangunan yang dibawa oleh calon-calon BN,” ujarnya.
Tambahnya, kempen BN turut menekankan pendengaran aktif terhadap permasalahan rakyat, penyampaian maklumat yang jelas serta penyelesaian konkrit bagi isu setempat selaras dengan prinsip kepimpinan parti yang berkesan dan berwawasan.

Jelas beliau, Mohd Naim membawa semangat serta tenaga generasi muda yang progresif dan dekat dengan aspirasi rakyat, manakala MIHA pula mempunyai pengalaman luas serta memahami keperluan masyarakat di Lamag.
“Gabungan ini diyakini mampu memastikan suara rakyat terus didengar dan dibela di peringkat Parlimen serta DUN,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti serta rakyat di Kinabatangan dan Lamag agar memberikan sokongan padu kepada calon-calon BN demi menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan masa depan yang lebih terancang serta sejahtera.






