
SIBU – Program Outreach One Stop Centre (OSC), Hari Menyantuni Pelanggan MADANI Bahagian Sibu 2026 menjadi platform strategik dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi pendekatan sehenti yang lebih inklusif.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Datuk Jasni Jubli berkata, program itu merupakan antara pengisian utama di bawah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat MADANI.
Menurutnya, ia menghimpunkan pelbagai perkhidmatan merentasi kementerian dan agensi dengan matlamat membasmi kemiskinan serta memastikan perkhidmatan kerajaan mudah diakses.
“Pendekatan OSC bukan sekadar menyediakan kaunter khidmat nasihat, sebaliknya berfungsi sebagai platform sehenti yang merangkumi semakan dan pendaftaran, nasihat kewangan, saringan kesihatan, latihan kemahiran serta pelbagai inisiatif lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sarawak di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam (LAKIS).
Mengulas lanjut, Jasni memberitahu, penganjuran program itu turut membuka ruang interaksi dua hala antara rakyat dan agensi kerajaan bagi membina kepercayaan masyarakat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Tambahnya, pelaksanaan OSC juga selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan peningkatan mutu hidup rakyat termasuk usaha menangani kos sara hidup.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program itu termasuk taklimat ‘Kemiskinan Bukan Untuk Diwarisi’, pertandingan mewarna, saringan kesihatan, derma darah, gunting rambut percuma serta pameran melibatkan lapan agensi.
Foto: Khairuddin Rusdi





