Israel terus serang Lubnan, dakwa sasar kumpulan Hizbullah – Hamas

BEIRUT – Tentera Israel melancarkan serangan ke atas apa yang didakwa sebagai sasaran Hizbullah dan Hamas di Lubnan, selepas mengeluarkan arahan pemindahan bagi empat kampung di timur dan selatan negara itu.

Jurucakap tentera Israel memaklumkan, pihaknya merancang serangan udara ke atas ‘infrastruktur ketenteraan’ Hizbullah dan Hamas di kampung Hammara dan Ain el-Tineh di Lembah Bekaa, serta Kfar Hatta dan Annan di selatan Lubnan.

Puluhan keluarga meninggalkan kampung berkenaan selepas amaran dikeluarkan, dengan dron berlegar di udara. Beberapa ambulans dan jentera bomba turut bersiap siaga.

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, serangan dron ke atas sebuah kereta di kampung Braikeh, selatan Lubnan, pada Isnin mencederakan dua individu.

Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan dua anggota Hizbullah.

Serangan terbaharu itu menyusuli insiden pada Ahad, apabila serangan Israel ke atas sebuah kenderaan di Ayn al-Mizrab, utara Bint Jbeil, mengorbankan dua orang.

Tentera Israel mendakwa, serangan yang berlaku kira-kira 10 kilometer dari sempadan itu turut menyasarkan anggota Hizbullah.

Israel terus melancarkan serangan meskipun gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) pada 2024 telah menamatkan lebih setahun pertempuran sengit antara pasukan Israel dan Hizbullah.

Bagaimanapun, tentera Israel didakwa berulang kali melanggar gencatan senjata dengan serangan bom dan masih menduduki lima kawasan di Lubnan.

Lubnan kini berdepan tekanan meningkat daripada AS dan Israel untuk melucutkan senjata Hizbullah, dengan kebimbangan bahawa Israel akan meningkatkan serangan.

Tentera Lubnan dijangka menyelesaikan proses pelucutan senjata di selatan Sungai Litani – kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel – menjelang akhir 2025.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar pada Ahad menyifatkan usaha pelucutan senjata itu ‘jauh daripada mencukupi’.

Penganalisis keselamatan berpangkalan di Beirut, Ali Rizk berkata, serangan terbaharu ini tidak mengejutkan susulan pertemuan minggu lalu antara Presiden AS, Donald Trump, dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

“Terdapat laporan bahawa Israel mendapat lampu hijau untuk meningkatkan serangan terhadap Hizbullah,” katanya kepada Al-Jazeera.

Beliau turut menekankan rujukan Israel terhadap Hamas sebagai sasaran memberi tekanan tambahan kepada Lubnan, bukan sahaja untuk bertindak terhadap Hizbullah, tetapi juga terhadap mana-mana kumpulan anti-Israel yang mungkin berada di wilayah Lubnan.

Kerajaan Lubnan dijangka bermesyuarat pada Selasa bagi membincangkan kemajuan tentera dalam melucutkan senjata Hizbullah, yang kekal berpengaruh meskipun mengalami kerugian besar termasuk kematian pemimpin kanan, Hassan Nasrallah, pada September 2024.

Related Posts

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

KOTA KINABALU – Sabah menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada 11 September 2026.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu petang ini untuk memulakan lawatan kerja selama dua hari ke Sabah. Ketibaan Perdana Menteri di Terminal 2,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

  • By Ithma
  • September 10, 2026
Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula