
KRUBUNG – Ribuan rakyat negeri Melaka membanjiri Stadium Hang Jebat di sini sempena sambutan Maal Hijrah 1446H peringkat Negeri Melaka yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ pada Sabtu malam.
Kira-kira 50,000 pengunjung membanjiri kawasan stadium yang diserikan dengan kehadiran penceramah terkenal, Ustaz Abdul Somad yang dibawakan khas dalam satu slot ceramah dalam program tersebut.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh dalam ucapannya berkata, jatuh bangun sesuatu tamadun Islam berada pada tanagan umat Islam itu sendiri.
“Perjuangan Rasullullah SAW benar-benar memberikan teladan kepada kita sebagai umat Islam agar sentiasa memperkukuh kan akidah, memperkasa ilmu pengetahuan, memperbaiki dan meningkat ekonomi serta memelihara kerajaan ini untuk terus berusaha ke arah menegakkan syiar islam,” katanya.

Abdul Rauf juga berkata, kerajaan tidak meminggirkan nilai agama Islam dan akan memastikan ianya terus diperluas menerusi pelbagai penganjuran program Islamik di negeri Melaka.
“Kerajaan Negeri Melaka sentiasa memastikan syiar Islam turus subur di bumi Melaka ini.
“Tentunya program-program keagamaan ini tidak terhenti setakat itu dan akan diteruskan sepanjang tahun ini,” katanya.

Majlis malam itu turut dipenuhi dengan bacaan surah Yasin, doa kesyukuran, nacaan doa akhir tahun dan awal tahun, majlis penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah serta alunan qasidah dari kumpulan Ahbabusham dan kumpulan Ar Rahman.




