
KUANTAN – Jalan Kertau-Kuala Wau di Chenor, Maran, ditutup sementara kepada kenderaan berat berikutan insiden mendapan tanah di Kampung Peijing, Chenor, hari ini.
Ibu Pejabat Polis Daerah Maran dalam satu hantaran melalui Facebook memaklumkan, mendapan tanah serta pergerakan pada bahagian pembetungan asas mengakibatkan kerosakan jalan sepanjang kira-kira 30 meter.
“Jabatan Kerja Raya sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan di lokasi terbabit bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Buat masa ini, laluan sehala masih boleh dilalui kenderaan ringan, namun kenderaan berat dilarang melalui kawasan itu hingga kerja pembaikan selesai,” menurut kenyataan itu.
Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan serta digalak menggunakan laluan alternatif Chenor-Gambang-Chini jika perlu.







