SARA RM100: ‘Talian hayat’ rakyat, bukti keprihatinan Kerajaan MADANI

HAZIQ AZHAR, MOHAMMAD FIKRI

KUCHING – Inisiatif kerajaan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos hingga 31 Disember ini bukan sekadar pemberian wang ringgit semata-mata, sebaliknya ia disifatkan sebagai ‘talian hayat’ bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Biarpun jumlah tersebut mungkin dianggap kecil oleh segelintir pihak, namun bagi rakyat terbanyak, ia adalah satu kelegaan yang amat dinantikan, terutamanya ketika berdepan ketidaktentuan harga barang semasa.

Tinjauan The Malaysia Press mendapati rata-rata penerima daripada pelbagai latar belakang iaitu suri rumah, pekerja swasta, dan pesara yang menyambut baik usaha ini yang disifatkan inklusif dan tepat pada masanya.

Ringankan beban belanja dapur

Bagi golongan suri rumah, setiap sen yang diperuntukkan kerajaan amat bermakna dalam memastikan kelangsungan dapur berasap.

Hajijah Kadir, 60, berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi keluarganya saban bulan.

“Bantuan SARA sangat meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Ia banyak membantu saya dan keluarga untuk mendapatkan barangan keperluan asas seperti makanan dan keperluan harian tanpa terlalu terbeban dengan perbelanjaan bulanan.

“Walaupun jumlahnya tidak besar, ia amat bermakna kerana dapat mengurangkan tekanan kewangan dan memberi sedikit kelegaan kepada kami untuk mengurus keperluan keluarga dengan lebih baik,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press.

Berita baik buat golongan bujang

Sering kali golongan bujang berasa terpinggir daripada bantuan kerajaan, namun inisiatif kali ini yang menyasarkan semua warganegara dewasa memberi nafas baharu kepada mereka.

Pekerja swasta, Ahmad Asri Mohammadin, 33, berpendapat bantuan itu membolehkan dia menyusun semula kewangannya.

“Sebagai individu bujang, bantuan SARA sangat membantu dalam mengurangkan beban perbelanjaan harian.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bantuan ini membolehkan saya mengurus kewangan dengan lebih baik dan menggunakan pendapatan bulanan untuk simpanan atau keperluan lain seperti pengangkutan dan kesihatan,” jelasnya.

Menurut Ahmad Asri, keprihatinan kerajaan terhadap golongan bujang menunjukkan bahawa tiada siapa yang tertinggal dalam agenda kebajikan negara.

Hargai jasa warga emas

Sementara itu, golongan pesara melihat inisiatif di bawah Kerajaan MADANI ini sebagai satu bentuk penghargaan yang berterusan terhadap warga emas yang tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.

Pesara kerajaan, Amit Tujuh, 65, melahirkan rasa syukur kerana kerajaan sentiasa peka dengan keperluan golongan sepertinya yang bergantung harap kepada wang pencen.

“Inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI amat bermakna. Usaha mengekalkan subsidi barangan keperluan asas dan perkhidmatan awam sangat membantu kerana kami tidak lagi mempunyai pendapatan tetap seperti ketika masih bekerja.

“Setiap kenaikan harga memberi kesan besar kepada kami. Langkah mengawal harga dan memberikan bantuan bersasar menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pesara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia turut menghargai fokus kerajaan terhadap aspek kesihatan warga emas yang kini lebih mudah diakses, memberinya keyakinan untuk menjalani kehidupan selepas bersara dengan lebih sejahtera dan bermaruah.

Jamin kualiti makanan

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja swasta, Mohammad Rezza, 33, menyifatkan SARA sebagai satu sistem bantuan yang praktikal dan bijak dalam memastikan kualiti pemakanan rakyat terjaga.

“Secara teknikalnya, ia bukan sekadar pemberian tunai, tetapi bantuan yang meringankan aliran tunai bulanan. Apa yang menarik adalah kelonggaran untuk membeli barang basah seperti ayam, ikan, dan sayur-sayuran.

“Ini adalah keperluan protein utama yang sering mengalami turun naik harga. Bagi saya, ini langkah bijak untuk membantu ekonomi keluarga secara langsung di peringkat akar umbi agar kualiti pemakanan dan kesihatan rumah tangga tetap terjaga,” jelasnya.

Rezza turut memuji ketepatan sasaran bantuan ini yang memastikan wang tersebut benar-benar dibelanjakan untuk keperluan makanan dan bukan perkara yang tidak kritikal.

Pemberian SARA RM100 secara one-off kali kedua pula dijadualkan pada pertengahan bulan Februari seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 sebelum ini.

Related Posts

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

PUTRAJAYA – Tiada mana-mana individu berada di atas undang-undang dan setiap yang disabitkan kesalahan mesti menjalani hukuman mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada, tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR – Harga arang batu yang melonjak kepada AS$148 satu tan pada 10 September meningkatkan tekanan terhadap kos penjanaan elektrik negara, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

  • By Fatin
  • September 18, 2026
Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

  • By Fandi
  • September 18, 2026
Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah