KUANTAN – Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP) Parlimen Lipis menggerakkan lebih 30 sukarelawan bagi kerja pembersihan pasca banjir di sekitar Taman Pelangkah, dekat Pekan, yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Misi itu diketuai Pengerusi MTSP Parlimen Lipis, Hafizul Rahman Muhamad dan ia adalah inisiatif tanggungjawab sosial bagi membantu meringankan beban penduduk setempat.
Ia juga bertujuan mempercepatkan proses pemulihan kawasan terlibat.
Menurutnya, penglibatan sukarelawan dari Lipis ke Pekan mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan merentas kawasan dalam membantu masyarakat dilanda musibah.

“Misi ini adalah sebagai tanda mengenang kembali jasa dan sumbangan bekas Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang pernah membantu kami di Lipis semasa dilanda banjir besar pada 2014.
“Beliau menggerakkan pasukan bantuan serta jentera kerajaan ke kawasan terjejas bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada penduduk,” katanya.
Hafizul Rahman memaklumkan, misi pasca banjir dilaksanakan pihaknya hari ini dilihat sebagai tanda penghargaan dan penghormatan terhadap keprihatinan berterusan yang pernah ditunjukkan Najib.
Katanya, MTSP Parlimen Lipis juga akan meneruskan aktiviti turun padang menerusi kerjasama berpasukan bagi memastikan proses membantu penduduk terjejas banjir dapat dilaksanakan dengan berkesan.







