
KOTA KINABALU – Datuk Mustapha Sakmud menyifatkan pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merupakan satu amanah besar yang dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab serta kesedaran terhadap harapan rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan ini.
“Insya-Allah, amanah ini akan digalas dengan tekad untuk meneruskan serta memperkukuh usaha-usaha berkaitan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang telah dimulakan di bawah teraju Kerajaan Malaysia MADANI demi kepentingan kedua-dua wilayah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Menurut Mustapha, tanggungjawab baharu ini akan digerakkan melalui kerjasama erat dan harmoni antara Perdana Menteri, Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
“Komitmen berterusan akan diberikan bagi mengembalikan serta mengangkat martabat Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia.
“Usaha ini selaras dengan semangat, sejarah serta peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia demi kemakmuran rakyat dalam sebuah negara berdaulat,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta seluruh warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas kepimpinan dan kerjasama erat sepanjang beliau berkhidmat di kementerian berkenaan sebagai Timbalan Menteri.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk usaha menyediakan bakat terbaik negara, meluaskan akses pendidikan tinggi serta memperkasa institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.



