
KOTA KINABALU – Institusi keluarga perlu terus diperkukuhkan kerana ia adalah asas penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan budaya negara.
Isteri Ketua Menteri Sabah, Datuk Juliah Salag berkata, institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk individu yang beretika dan bertanggungjawab.
Katanya, dalam era di mana teknologi berkembang begitu pesat, kos sara hidup meningkat, serta norma sosial berubah dengan pantas, keluarga memerlukan, kebijaksanaan, ilmu dan kesedaran tinggi untuk terus teguh dan harmoni.
“Kita semua tahu bahawa keluarga adalah sekolah pertama seorang insan.
“Di rumah, tempat paling asas dan paling dekat dengan hati, lahirnya pembentukan akhlak, nilai dan karakter.
“Justeru, meluangkan masa bersama keluarga adalah antara usaha yang sangat penting dalam membina dan memperkukuhkan hubungan keluarga.
“Dengan meluangkan masa bersama, ahli keluarga boleh berbincang mengenai cabaran dan kejayaan, berkongsi minat dan aktiviti, serta mempereratkan ikatan yang penting untuk kesejahteraan emosi dan psikologi,” katanya ketika berucap di Seminar Inspirasi Keluarga Madani, di sini pada Sabtu.

Tambahnya, beliau berharap semua peserta dapat mengambil manfaat daripada seminar yang amat bermakna ini dan kembali ke rumah dengan ilmu baharu untuk membina suasana keluarga yang lebih tenang, bahagia dan menyokong kesejahteraan mental setiap ahli keluarga.
“Kesejahteraan keluarga tidak boleh dipikul oleh ibu bapa sahaja.
“Ia juga memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuklah komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, sektor swasta, persatuan wanita dan institusi pendidikan.
“Semoga seminar ini memberi manfaat besar dan menjadi titik tolak kepada pembinaan keluarga MADANI yang lebih sejahtera,” katanya.
Pada majlis tersebut, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH) turut merasmikan seminar tersebut.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin.





