
TAWAU – Sebanyak 269 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Kembali Ke Sekolah akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 20 Disember ini sehingga 11 Januari tahun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program ini melibatkan sebanyak 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian iaitu melalui pelaksanaan secara dalam dan luar premis.
“Para pengguna boleh mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.
“Terdapat 45 sehingga 80 Stock Keeping Unit
(SKU) ditawarkan seperti pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan kelengkapan alat tulis,” katanya kepada media pada Program Jualan Rahmah MADANI kembali ke Sekolah 2026, di Servay Hypermarket Tawau, pada Sabtu.

Jelas Armizan, Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi pelaksanaan insiatif Payung RAHMAH di bawah KPDN termasuk penganjuran PJRM seluruh negara.
Justeru katanya, KPDN akan terus memperkasa pelaksanaan PJRM termasuklah penambahbaikan dari aspek peluasan kaedah dan golongan sasar sedia ada.
“Kita ada 600 DUN, jadi ini merupakan salah satu inisiatif untuk kita membantu meringankan beban sara hidup keluarga-keluarga yang memerlukan dalam membuat persiapan bagi menghadapi sesi persekolahan yang akan bermula pada awal tahun hadapan,” katanya.








